suria

Gandingan Shern Fen, Chiew Lee Sumbang Emas Buat Tuan Rumah

MELAKA: Gandingan mantap Ng Shern Fen dan Tan Chiew Lee menyumbang pingat emas terakhir buat tuan rumah, Melaka selepas memenangi perlawanan akhir bola tampar pantai wanita, di sini hari ini.

Secara tidak langsung pingat emas itu adalah yang terakhir buat kontinjen tuan rumah pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali ini.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Gelanggang Bola Tampar Pantai, Pantai Puteri, Tanjung Kling, Shern Fen dan Chiew Lee terpaksa berhadapan saingan sengit pemain Selangor, Kuck Sea Yeng dan Won Chin Ru.

"Saya sendiri seperti tidak percaya yang kami boleh sampai ke peringkat akhir. Kami hanya mula berlatih untuk menghadapi Sukma dua bulan lepas.

"Perlawanan hari ini memang sengit. Pemain Selangor lebih berpengalaman dan mereka pasukan pilihan. Sokongan penonton banyak membantu kami untuk terus memberi saingan yang baik," kata Shern Fen.

Mereka mendahuli pasangan Selangor pada set pertama dengan 21-17 tetapi pada set berikutnya Selangor berjaya menyamakan kedudukan dengan 21-18.

Sokongan kira-kira 1,000 penyokong tempatan yang membanjiri gelanggang akhir itu memberi semangat kepada kedua-dua mereka untuk mendapatkan tambahan dua mata kemenangan selepas terikat 14-14 pada set ketiga.

Pingat gangsa kategori wanita dimenangi gandingan Teh Pei Thing dan Wong Yak Tin dari Kedah yang menewaskan Nik Norsyaswana Nik Soh dan Nurain Ariffin dari Terengganu, 21-16 dan 21-13.

Terdahulu dalam perlawanan akhir kategori lelaki, Rafi Arsuki Nordin dan Khoo Chong Long dari Selangor menewaskan pasangan dari Perlis, Mohd Faiz Putra Abdul Razak dan Muhd Noor Nazmi Mohd Noor Azam.

Walaupun bermain dalam keadaan hujan lebat dan keadaan yang berangin di kawasan pantai peranginan itu, Rafi Arsuki dan Chong Long berjaya memenangi perlawanan berkenaan dengan set terus, 21-15 dan 21-16.

"Kalau tidak kerana hujan lebat semasa permainan, kami mempunyai peluang untuk menang mudah. Dalam suasana lembab itu, banyak lakukan kesilapan dari segi blocking," kata Rafi Arsuki, yang kini menyimpan hasrat untuk dipilih mewakili negara ke Sukan Asia Guangzhou, November depan.

Pingat gangsa menjadi milik gandingan Mohamad Fitri Salim dan K.

Puvaneesvaran dari Negeri Sembilan yang menewaskan Mohd Faisal Kamarudin dan Naim Mohd Salim dari Terengganu dengan 17-21, 21-10 dan 15-11. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain