suria

Selangor Jumpa Terengganu Pada Perlawanan Akhir Bola Sepak

MELAKA: Selangor akan menentang Terengganu pada perlawanan akhir bola sepak Sukan Malaysia Ke-13 Melaka di Stadium Hang Tuah di sini, esok.

Kedua-dua pasukan itu layak ke peringkat akhir setelah menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan sengit hari ini. Dalam perlawanan di Stadium Hang Tuah di sini, malam ini, Selangor menang tipis 1-0 menewaskan Kedah.

Dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, ketua pasukan Selangor Mohd Fitri Riduwan muncul wira pasukannya apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Dalam perlawanan di stadium sama petang tadi, juara bertahan Sukma dua kali berturut-turut sejak 2006, Terengganu menewaskan Wilayah Persekutuan melalui tendangan penalti 5-4.

Tendangan penalti pasukan Terengganu dilakukan oleh Joseph Kallang Tie, Rosli Muda, Mohd Firdaus Fauzi, Shamsul Kamal dan Mohd Shazian Alias.

Empat gol Wilayah Persekutuan diperoleh melalui tendangan penalti Azri Alwan Nordin, Mohamad Hafiz, Azrul Azmi dan Mohd Farid Ramli.

Satu lagi sepakan penalti pemain Wilayah Persekutuan, Ahmad Hazwan Bakri berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Terenggangu Mohamad Shamirza Yusof.

Kedua-dua pasukan mempamerkan saingan sengit dengan saling berbalas serangan sehingga mereka terpaksa bermain pada masa tambahan namun berakhir tanpa sebarang jaringan. -BERNAMA

Artikel Lain