suria

Johor Rangkul Dua Emas Golf Wanita

MELAKA: Pasukan wanita Johor menggondol dua pingat emas iaitu dalam acara perseorangan dan pasukan Sukan Malaysia ke-13 dalam acara golf yang diadakan di Kelab Golf Ayer Keroh, semalam.

Kelly Tan membuat pukul satu atas par 73 untuk menyusuli pukulan 76 dan 69 bagi tiga hari dengan keseluruhan pukulan dua atas par 218 untuk memenangi emas Sukma pertamanya.

Pingat perak dimenangi Vivienne Chin dari Sabah dengan jumlah pukulan lima atas par 221 dan Iman Ahmad Nordin dari Pahang memenangi gangsa dengan 224 pukulan.

"Saya gembira dengan pencapaian saya di sini. Ini merupakan emas Sukma pertama saya, tahun sebelum ini saya tidak bermain dengan baik dan tidak memenangi sebarang pingat," kata Kelly kepada Bernama.

Buat pertama kali juga, pasukan wanita Johor yang dibarisi Kelly, Ardilla Ali dan B.K. Asha Lakshme memperoleh emas selepas membuat 450 pukulan keseluruhan. Pingat perak dimenangi Pahang dengan 455 pukulan dan Selangor mendapat gangsa selepas membuat 456 pukulan.

Dalam kategori lelaki, Chan Tuck Soon dari Wilayah Persekutuan menang pingat emas, menewaskan Chin Jun Ni (Sabah) untuk perak dan Mohd Iylia Jamil (Selangor) gangsa.

Bagi acara berpasukan, Selangor mengekalkan emas selepas mengumpul 662 pukulan manakala Wilayah Persekutuan mendapat perak dengan 667 pukulan dan Sabah memperoleh gangsa selepas mencatat 672 pukulan. -BERNAMA

Artikel Lain