suria

Johor Rangkul Dua Emas Angkat Berat Wanita

MELAKA: Pasukan Johor berjaya merangkul pingat emas pada kategori bawah 69kg wanita pada pertandingan angkat berat bagi acara snatch dan Clean & Jerk Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh di sini, semalam.

Nor Khasida Abd Halim, 19, berjaya memperoleh emas untuk Johor selepas berjaya mengangkat beban 74kg dalam acara snatch dan mendapat pingat perak bagi acara clean & jerk dengan angkatan beban 92kg.

Rakan senegerinya Khairani Abd Malek, 18, memungut emas bagi acara clean & jerk dan pingat perak bagi acara snatch masing-masing dengan angkatan berat beban 92kg dan 73kg.

Pingat gangsa digondol oleh atlet harapan Kedah Intan Ayuni Abdullah bagi acara snatch dan clean & jerk masing-masing dengan berat beban 70kg dan 92kg.

Bagi kategori bawah 85kg lelaki acara snatch dan clean & jerk, pingat emas dimenangi atlet Terengganu, Abdul Mubin Rahim dengan angkatan beban masing-masing 140 kg dan 175kg.

Pingat perak dimenangi oleh atlet dari Sarawak, Belon Ben dalam kedua-dua acara iaitu snatch dengan angkatan beban 130kg dan clean & jerk dengan angkatan beban 155kg.

Shahril Suratman dari Pahang meraih pingat gangsa dalam acara snatch dan clean & jerk setelah berjaya mengangkat beban 124kg dan 150kg.

Sebanyak 22 daripada 32 pingat emas ditawarkan hari ini dan pertandingan diteruskan hari ini. -BERNAMA

Artikel Lain