suria

Chong Wei Lepasi Pusingan Terbuka Singapura

SINGAPURA: Datuk Lee Chong Wei melepasi perlawanan pembukaan Terbuka Singapura malam tadi namun bukan dengan jalan mudah.

Perseorangan utama negara itu terpaksa berhempas pulas selama 46 minit dan menerusi set penentuan sebelum dapat menundukkan Brice Leverdez dari Perancis dengan 21-9, 15-21, 21-15 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup di sini.

"Saya fikir beliau bermain dengan baik dan berjaya mengikut rentak permainan. Yang pasti beliau tidak mudah mengalah," kata Chong Wei mengenai pemain nombor satu Perancis itu.

Bagaimanapun Choi Wei turut melahirkan rasa kurang puas hati dengan keadaan lantai gelanggang yang agak licin.

"Saya baru pulih daripada kecederaan lutut kiri dan selepas beberapa kali tergelincir, saya terpaksa berhati-hati agar tidak terjatuh dan memburukkan lagi kecederaan saya," kata Chong Wei yang akan menentang Rumbaka Hayom dari Indonesia pada pusingan seterusnya.

Sementara itu, perseorangan nombor satu wanita negara, Wong Mew Choo tidak begitu bernasib baik apabila tewas mudah kepada pemain India Saina Nehwal 8-21, 5-21.

"Beliau terlalu bagus hari ini, tidak seperti minggu lepas saya berjaya membawa beliau bermain tiga set pada perlawanan akhir Terbuka India. Hari ini saya tidak berjaya menembusi pertahannya," kata Mew Choo.

Saina yang merupakan pilihan pertama kejohanan jelas lebih kuat dan adakala terlalu pantas untuk ditangani Mew Choo.

"Saya pernah menewaskannya sebanyak tiga kali dan ia memberikan saya keyakinan, namun saya terpaksa akui prestasinya hari ini agak memeranjatkannya," kata Saina. -BERNAMA

Artikel Lain