suria

Kevin Yeap Catat Rekod Baru Renang 400M Gaya Bebas

MELAKA: Perenang jarak jauh kebangsaan Kevin Yeap merangkul pingat emas dan mencatatkan rekod baru Sukan Malaysia (Sukma) dalam acara 400m gaya bebas lelaki di Pusat Akuatik Hang Jebat di sini , semalam.

Perenang dari Perak itu yang berpusat di Bukit Jalil dan akan genap usia 21 tahun Ogos ini, mencatatkan 4 minit 2.11 saat bagi memadamkan rekod lama 4:02.82s yang dilakukan oleh peserta Sarawak, Dieung Manggan semasa Sukma Sabah lapan tahun lepas.

Wakil Sarawak Vernon Lee terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 4:08.35s dan gangsa diraih oleh Joshua Lee dari Wilayah Persekutuan dengan masa 4:11.88s.

"Sebenarnya, memang sasaran saya untuk memecahkan rekod dalam acara ini. Catatan terbaik saya ialah 4 minit dan saya cuba mencatatkan masa yang lebih rendah malangnya saya gagal berbuat demikian.

Namun begitu, saya gembira dapat memecahkan rekod di sini," kata Kevin.

Kevin berkata beliau mencatatkan masa terbaiknya 4:00.31s bulan lepas semasa Kejohanan Renang Terbuka Malaysia kali ke-53 di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil.

"Saya akan cuba memecah rekod saya sendiri dalam acara 1,500m gaya bebas iaitu acara kegemaran saya esok," kata Kevin, yang berharap untuk menjadi perenang pertama memenangi emas berganda dalam acara 400m dan 1,500m gaya bebas dalam Sukma tiga kali berturut-turut.

Katanya ketika muncul buat kali pertama dalam Sukma Negeri Sembilan pada 2004, beliau hanya berjaya memenangi pingat gangsa dalam kedua-dua acara.

Selain Kevin, kuartet dari Wilayah Persekutuan yang beraksi dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki berganti-ganti mencuri tumpuan apabila mereka turut mencatatkan rekod baru kejohanan.

Kuartet itu terdiri daripada Ian James Barr, Kevin Lim, Melvin Chua dan Joshua Lee mencatatkan 7:54.20s bagi memadamkan rekod sebelum ini 7:57.81s yang dilakukan dua tahun lepas oleh perenang dari Sarawak. - BERNAMA

Artikel Lain