suria

Harimau Muda A Kembali Jalani Latihan

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 21 tahun kebangsaan atau Harimau Muda A kembali menjalani latihan pusat di Wisma Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya semalam setelah berehat hampir dua minggu sejak pulang dari Slovakia awal bulan ini.

Jurulatihnya Mohd Azraai Khor Abdullah berkata seramai 16 pemain telah dipanggil dan melaporkan diri untuk latihan pusat kali ini.

"Manakala lima lagi pemain saya kini mengikuti latihan skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal di Turki sejak Khamis lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Azraai berkata lima pemain terbabit adalah Muslim Ahmad, Ahmad Shakir Md. Ali, K. Gurusamy, Mahali Jasuli serta Izzaq Faris Ramlan yang turut menjaringkan satu gol ketika menewaskan kelab Russia, Alania Vladikavkaz 3-1 semalam.

"Untuk latihan pusat ini, kita akan menjalani latihan seperti biasa termasuklah memperkuatkan ketahanan pemain secara keseluruhan seperti fizikal dan mental," katanya.

Beliau berkata skuad terbabit akan terus mendapat pendedahan perlawanan-perlawanan termasuk menghadapi kejohanan Piala Newspaper yang akan diadakan pada Oktober depan.

Kejohanan berkenaan yang akan diadakan di Vietnam dilaporkan akan menampilkan pasukan-pasukan seperti Iran, China, Qatar, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Ia dianggap peluang terbaik untuk skuad itu yang akan menggalas tugas berat mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Indonesia pada tahun depan untuk menguji kekuatan di peringkat antarabangsa setelah menjalani latihan dan pendedahan selama tiga bulan di Slovakia.

Artikel Sebelum

Artikel Lain