suria

Giliran Torres Jadi Tumpuan Barcelona

BARCELONA bersedia mengemukakan tawaran bernilai 70 juta pound (RM338.25 juta) terhadap penyerang Liverpool, Fernando Torres pada musim panas ini.

Menurut laporan The Mirror, Presiden baru Barcelona, Sandro Rosell mahu menggandingkan Torres dengan David Villa untuk memperkukuhkan jentera serangan kelab Catalan itu.

Chelsea dan Manchester City turut bersedia menawarkan bidaan terhadap bintang berusia 26 tahun itu yang masih bergelut dengan kecederaan sejak musim 2009/2010 di Anfield.

Sebarang percubaan membawa masuk Torres mungkin menyukarkan peluang Barcelona untuk mendapatkan khidmat kapten Arsenal, Cesc Fabregas ke Nou Camp secara serentak.

Torres yang pernah mewakili Atletico Madrid sebelum ini mendedahkan hanya satu kelab yang akan disertainya di Sepanyol iaitu Barcelona.

Memandangkan bekas pengurus Liverpool, Rafael Benitez kini menggalas tanggungjawab membimbing Inter Milan dan kerusi panas di Anfield belum lagi diisi sesiapa, khabar angin mengaitkan Torres dan Steven Gerrard akan meninggalkan kelab itu semakin bertiup kencang.

Pengurus Real Madrid, Jose Mourinho dikatakan begitu meminati skil permainan Gerrard dan berhasrat mendapatkan khidmat kapten Liverpool itu ke Santiago Bernabeu.

Sementara itu, penyikiran The Reds daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah menguatkan lagi kemungkinan Torres akan berhijrah ke kelab lain.

Artikel Sebelum

Artikel Lain