suria

Pulau Pinang Sekat Hasrat Wilayah Persekutuan Bolot Pingat Emas Keempat

MELAKA: Hasrat skuad ekuestrian Wilayah Persekutuan untuk membolot kedua-dua pingat emas terakhir yang ditawarkan dalam acara ekuestrian temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13.

Acara berkenaan yang menutup tirainya hari ini menawarkan dua pingat emas dalam acara Dressage dan Show Jumping individu.

"Walaupun tidak dapat meraih satu lagi pingat pun kami sudah berpuas hati dengan persembahan kesemua ekuin kami. Pencapaian kali ini adalah yang terbaik buat skuad ekuestrian Wilayah Persekutuan dalam pembabitan kami dalam Sukma.

"Pada Sukma di Terengganu, kami hanya mampu raih pingat perak sahaja," kata pengurus pasukan ekuestrian Wilayah Persekutuan, Norlida Bunyamin kepada Bernama.

Pingat emas keempatnya melalui acara Dressage individu menerusi Natalya Wah Idris dengan kudanya, My Wish, sekali lagi mencuri tumpuan penonton dengan persembahan yang menarik.

Natalya berjaya mengumpul 67.41 mata untuk mengatasi pesaing terdekatnya, Syed Kamil Nafis Syed Yusof yang menunggang L.T.M. Star Sasa dari Pulau Pinang yang meraih 64.26 mata.

Pingat gangsa menjadi milik ekuin dari Terengganu, Amira Syahirah Mohd Zulkefli yang menunggang Dicky.

Bagaimanapun, ekuin Pulau Pinang N. Shoorendran yang menunggang kuda bernama Sri Pulau berjaya menyekat kemaraan ekuin-ekuin dari Wilayah Persekutuan selepas berjaya mencatat masa terpantas iaitu 60.93 saat dengan tanpa dikenakan penalti dalam acara Show Jumping.

Ekuin Wilayah Persekutuan Ahmad Imtaz Amir Hamzah dan kudanya, Super Jogger, hanya mampu meraih pingat perak selepas mencatat masa 61.41 saat.

Pingat gangsa menjadi milik penunggang dari Terengganu, Amira Syahirah Mohd Zulkefli dan kudanya, Dicky dengan catatan masa 66.80 saat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain