suria

Mohd Azizulhasni Raih Emas Acara Keirin

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang meraih emas acara keirin di Piala Trek Asia 2010 di Velodrom Hakodate di Hokkaido, Jepun, hari ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu menewaskan lima pencabar lain pada pusingan akhir yang turut disertai oleh seorang lagi pelumba Malaysia, Muhammad Edrus Md Yunos serta masing-masing dua pelumba Jepun dan Korea Selatan.

Pingat perak diraih pelumba Korea Selatan, Choi Woo Min manakala Muhammad Edrus sekadar berpuas hati di tempat ketiga untuk meraih gangsa.

Kejayaan itu merupakan emas keduanya selepas memenangi acara pecut berpasukan semalam, bergandingan dengan Muhammad Edrus dan Mohd Rizal Tisin.

Menurut Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad di dalam satu kenyataan, kejohanan terbabit memberi peluang kepada pelumba-pelumba kebangsaan menguji kemampuan pasukan seperti Jepun dan Korea Selatan menjelang Sukan Asia di Guangzhou, China pada November ini.

Beliau berkata pertandingan itu dapat membantu mereka mengutip mata bagi kelayakan ke Kejohanan Dunia nanti.

Secara keseluruhan, Malaysia yang menghantar tiga pelumba di bawah bimbingan ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley memenangi dua emas, dua perak dan dua gangsa pada kejohanan tiga hari yang berakhir hari ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain