suria

Kedah Pecah Dua Rekod Angkat Berat

MELAKA: Atlet Kedah berjaya mencipta rekod baru acara angkat berat pada hari kedua Sukan Malaysia Ke-13 Melaka yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh di sini, semalam.

Mohd Shafiq Ismail, 22, muncul juara kategori bawah 56 kg dengan dua pingat emas apabila beliau berjaya mengangkat 115 kg bagi acara snatch dan 136 kg bagi acara clean and jerk.

Mohd Shafiq yang juga atlet elit kebangsaan Majlis Sukan Negara, berjaya mengatasi rekod beliau pada Sukma Ke-12 di Terengganu dua tahun lepas.

Atlet Kelantan, Mohamad Saddam Dollah memperolehi pingat perak untuk acara snatch manakala atlet Terengganu Khairul Ridhwan A. mendapat pingat gangsa dalam acara Clean & jerk.

Atlet tuan rumah Melaka, Mohd Fadhli Ahmad memperolehi pingat gangsa bagi acara snatch manakala Zulhelmi Md Pisol dari Pulau Pinang mendapat pingat gangsa acara clean & jerk.

Ketika ditemui Bernama, Pengurus pasukan Kedah, Yusof Ishak berkata berdasarkan pencapaian hari ini, beliau yakin pasukannya mampu memperolehi lebih banyak lagi pingat emas.

"Saya rasa boleh capai sasaran 10 pingat emas berdasarkan pencapaian pasukan Kedah kerana untuk hari pertama ini kami telah dapat memungut empat emas dan satu perak," katanya.

Mohd Shafiq pula tidak menjangka boleh menang dan dapat memecahkan rekod beliau pada Sukma Ke-12 kerana persaingan amat sengit.

"Ini adalah angkatan beban yang paling baik dalam sejarah saya ceburi sukan angkat berat. Rekod saya pada Sukma lalu berjaya mengangkat bebanan 108kg bagi acara snatch dan 131kg bagi acara clean & jerk," katanya.

Sementara itu, bagi kategori bawah 48kg wanita, atlet Kedah Zaira Zakaria membolot pingat emas bagi acara snatch dan clean & jerk apabila berjaya mengangkat bebanan 69kg dan 83kg.

Pingat perak bagi acara snatch dipungut atlet juga dari Kedah, Nurniada Nordin manakala Azizah Fadzil dari Pulau Pinang memungut pingat gangsa.

Bagi acara clean & jerk, Azizah berjaya meraih pingat perak manakala atlet dari Perak, Nur Ainul Jannah Iman memungut pingat gangsa.

Bagi kategori bawah 53kg wanita, atlet Kelantan Raihan Yusoff memperolehi pingat emas acara snatch dan clean & jerk, dengan angkatan beban masing-masing 73kg dan 90kg.

Sharifah Inani dari Pahang memperolehi pingat perak manakala E.Sasheladevi dari Pulau Pinang mendapat gangsa, dalam acara sama.

Acara angkat berat yang menawarkan keseluruhan 32 pingat emas akan bersambung hari ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain