suria

Trio Pecut Berpasukan Raih Emas Pertama Malaysia Di Piala Trek Asia 2010

KUALA LUMPUR: Trio berbasikal negara memenangi acara pecut berpasukan untuk meraih pingat emas pertama Malaysia pada saingan Piala Trek Asia 2010 yang berlangsung di Veledrom Hakodate di Hokkaido, Jepun, hari ini.

Menurut Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad di dalam satu kenyataan, cabaran pasukan pecut itu digalas oleh Muhammad Edrus Md Yunos, Mohd Azizulhasni Awang and Mohd Rizal Tisin.

Trio pelumba Malaysia mencatatkan masa 1 minit 17.183 saat menewaskan trio Jepun dan Korea Selatan yang masing-masing terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa.

Keputusan itu sekaligus membolehkan Mohd Azizulhasni membalas dendam kekalahannya pada pusingan akhir kepada pelumba Jepun, Tsubasa Kitatsuru di dalam acara pecut individu semalam. Kemenangan ini juga bermakna Malaysia kini boleh menharapkan kilauan pingat emas daripada pelumba-pelumba trek kebangsaan di Sukan Asia 2010 di China pada November ini.

Kecemerlangan meraih emas itu bagaimanapun gagal diteruskan Muhammad Edrus apabila sekadar meraih pingat perak di dalam acara satu kilometer ujian masa di mana pelumba Jepun, Kazuki Amagai meraih emas.

Manakala percaturan untuk menyediakan tahap terbaik kepada Mohd Rizal pada perlumbaan pecut berpasukan menyebabkan pelumba itu tidak menamatkan perlumbaan acara omnium II (30 kilometer perlumbaan mata).

Pada aksi hari ini juga, Mohd Azizulhasni dan Muhammad Edrus berjaya layak ke pusingan akhir acara keirin yang akan berlangsung esok, iaitu hari terakhir setelah masing-masing menamatkan saringan satu dan dua di tempat kedua.

Hari pertama semalam menyaksikan Mohd Azizulhasni dan Muhammad Edrus berjaya meraih pingat perak dan gangsa dalam acara pecut individu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain