suria

Sukma-Terjun : Traisy Sekat Kemaraan Perak

MELAKA: Penerjun cilik dari Sarawak, Traisy Vivien menyekat kemaraan dua penerjun Perak dalam acara terjun temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di sini, hari ini.

Pada acara 10m platform individu wanita yang berlangsung di Pusat Akuatik Hang Jebat, Traisy, 16, mengumpul 268.35 mata untuk meraih pingat emas, mengenepikan saingan Kam Ling Kar dan Jasmine Lai dari Perak selepas masing-masing mengumpul 236.96 dan 225.05 mata.

"Walaupun menang, saya tidak berpuas hati dengan terjunan yang dilakukan hari ini. Jurulatih saya pun cakap mutu terjunan saya tidak begitu baik," kata pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil yang berasal dari Daerah Bau, Sarawak.

Traisy bagaimanapun berpuas hati kerana berjaya meraih pingat emas berbanding ketika menyertai Sukma Terengganu dua tahun lepas, beliau hanya mampu meraih pingat perak sahaja dalam acara berkenaan.

Sebelum menyertai Sukma Melaka, Traisy mewakili negara pada Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA di Changzhou, China dalam acara 10m platform individu wanita pada 2 hingga 6 Jun lepas.

"Pada kejohanan itu, saya hanya mampu mara ke peringkat separuh akhir sahaja," katanya.

Pada penampilan pertama beliau di temasya Sukan SEA di Laos tahun lepas, Traisy berjaya meraih pingat perak dalam acara 10m platform individu. Pingat emas dimenangi Pandalela Rinong.

Selepas Sukma Melaka, beliau akan menjalani latihan persiapan untuk mewakili negara di Sukan Komanwel New Delhi pada Oktober depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain