suria

Sukma: Dua Rekod Baru Dicipta Pada Hari Pertama Menembak

MELAKA: Dua rekod baru Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 dicipta Pahang dan pasukan tuan rumah Melaka pada hari pertama acara menembak di Pusat Sukan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di sini hari ini.

Pasukan Pahang yang mendapat pingat emas, mencipta rekod itu dalam acara 10m air rifle wanita berpasukan dengan pungutan 1,167 mata, meleburkan rekod lama 1,165 mata oleh pasukan Perak pada Sukma ke-11 di Kedah pada 2006.

Trio Pahang yang dianggotai Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Nurul Izzatie Roslan dan Aina Zahiran mengalahkan pasukan Melaka (perak/1,151 mata) dan pasukan Perak (gangsa/1,151 mata).

Walaupun memperolehi mata sama dengan Perak, Melaka diisytihar pemenang pingat perak apabila memperolehi mata terbanyak 293 mata berbanding pasukan Perak 290 mata pada siri terakhir tembakan (siri empat) acara itu.

Nur Ayuni yang mewakili negara pada Sukan Sea Laos tahun lepas berkata rekod yang dicipta bersama rakan sepasukannya merupakan satu kejutan kepada seluruh pasukan menembak Pahang walaupun mensasarkan untuk memperolehi emas dalam acara tersebut.

"Selain dua pingat emas ini, pasukan kami mensasarkan untuk memperolehi sebutir lagi pingat emas dalam acara 50m sports rifle prone berpasukan wanita esok," katanya kepada Bernama di sini.

Nur Ayuni Farhana juga cemerlang dalam acara 10m air rifle wanita individu apabila memperolehi pingat emas dengan 393 mata menewaskan penembak Melaka, Nur Farah Afiqah Mohd Taufekh (perak/389 mata) dan Nurul Ain Zulhawi dari Perak (gangsa/389 mata).

Walaupun memperolehi mata yang sama, Farah Afiqah memperolehi pingat perak apabila beliau memperolehi lima tembakan di bulatan tengah berbanding dua tembakan yang diperolehi Nurul Ain.

Sementara itu, penembak tuan rumah Melaka, Johnathan Wong yang meraih pingat emas, berjaya mencipta rekod baru dalam acara 50m free pistol lelaki individu dengan pungutan 537 mata memecahkan rekod lama 533 mata milik penembak Selangor Leong Jia Chyuan pada Sukma ke-10 di Negeri Sembilan pada 2004.

Johnathan menewaskan penembak Negeri Sembilan Jasmi Mohamad Zin (perak/528 mata) dan Muhammad Anas Abdul Malik (gangsa/523). "Saya sasarkan menang pingat emas tetapi pecah rekod adalah satu bonus untuk saya," kata Johnathan.

Pingat emas acara 50m free pistol berpasukan menjadi milik pasukan Pahang yang dianggotai Abdul Aziz Abd Malek, Mohamad Muhaithir Johari dan Khairul Azri Mohamad Roslan dengan memperolehi 1,551 mata menewaskan pasukan Perak (perak/1,528 mata) dan pasukan Negeri Sembilan(gangsa/1,520 mata).

Acara menembak bersambung esok dengan menawarkan enam pingat emas dalam acara 10m air rifle individu dan berpasukan lelaki, 25m rapid fire pistol individu dan berpasukan lelaki, 50m sports rifle prone individu dan berpasukan wanita. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain