suria

P.Pinang, W.Persekutuan Peroleh Empat Emas Keseluruhan Acara Karate-Do

MELAKA: Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan menguasai acara karate-do apabila masing-masing memperoleh empat pingat emas keseluruhan pada hari terakhir sukan itu yang berlangsung di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Masjid Tanah, di sini hari ini.

Daripada 16 pingat emas, yang ditawarkan selama tiga hari acara itu berlangsung - Sabah, Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing merangkul dua pingat emas sementara Kedah dan tuan rumah Melaka mendapat satu pingat emas.

Daripada empat pingat emas ditawarkan hari ini, peserta Pulau Pinang, Teh Chin Keong paling menonjol dalam kategori lelaki 84 kilogram ke atas menewaskan lawannya S. Moen Raj dari Perak dengan kemenangan bergaya 11-3.

Pingat emas menjadi milik peserta Sabah, Philip Shan J.N. bagi kategori lelaki bawah 84 kilogram apabila menewaskan Muhammad Faezuddin dari Pulau Pinang.

S. Nishanti dari Negeri Sembilan mengungguli kategori wanita bawah 68 kilogram mengalahkan peserta Terengganu, Norazimah.

Penuntut jurusan pengurusan sukan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Rozira Abu menggamatkan para penyokong Melaka setelah memenangi pingat emas bagi acara kumite wanita 68 kilogram ke atas.

Rozira, 22, menewaskan peserta Selangor, D. Sobah dengan kemenangan 5-2 dalam perlawanan akhir yang turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Segala penat lelah saya setelah 10 tahun menceburi sukan karate-do sejak di tingkatan satu akhirnya berbaloi dengan kemenangan ini," kata pelajar tahun pertama dari Balai Panjang, dekat sini kepada Bernama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain