suria

Perenang Wilayah Tambah Lima Emas, Cipta Dua Rekod Kejohanan

MELAKA: Perenang Wilayah Persekutuan (WP) merangkul lima daripada lapan pingat emas yang dipertandingkan pada hari kedua acara renang Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di sini hari ini.

Selain merangkul emas, WP turut mencipta dua rekod baru kejohanan di Pusat Akuatik Hang Jebat.

Ian James Barr yang mewakili WP Kuala Lumpur mencipta rekod dalam acara 200 meter rampaian perseorangan lelaki dengan masa 2 minit 8.09 saat untuk memadam rekod 10 tahun Sukma yang dipegang Allen Ong dari Perak yang mencipta 2:08.17s pada Sukma Pulau Pinang 2000.

"Saya tidak menyangka dapat memecah rekod. Ia pingat emas pertama saya dalam Sukma. Tahun lepas (Sukma pertamanya) saya hanya layak ke pusingan akhir dan menduduki tempat kelima dari enam kedudukan," kata remaja berusia 15 tahun ini.

Chan Kah Yan pula paling gembira dalam kontinjen WP apabila merangkul tiga emas dan mencipta rekod baru kejohanan dalam acara 100 meter gaya bebas wanita.

Beliau mencatat 58.10 saat untuk mengatasi rekod 58.14s yang dicipta Leung Chii Lin dari Sabah pada Sukma Terengganu 2008.

Dua lagi pingat emasnya ialah dalam acara 200m kuat lentang dan 200m rampaian perseorangan.

Beliau turut menggondol pingat emas dalam acara 200 meter gaya bebas pada hari pembukaan Sukma pada Jumaat.

Satu lagi emas WP diperolehi menerusi perenang negara Melvin Chua dalam acara 200m kuak lentang lelaki. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain