suria

Terengganu Cipta Rekod Baru Acara Berbasikal

MELAKA: Terengganu mencipta rekod baru Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 Melaka dalam acara berbasikal pada perlumbaan pembuka tirai acara itu di Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini hari ini.

Pasukan Terengganu mencatat masa 1 jam 35 minit 22 saat dalam acara 80km ujian masa berpasukan lelaki, memadamkan rekod lama 1 jam 37 minit yang dicipta pelumba negeri itu dalam saingan Sukma ke-12 dua tahun lepas, sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas.

Pasukan Terengganu yang dianggotai Muhamad Adiq Husainie Othman, Mohd Harrif Saleh, Mohamad Saufi Mat Senan dan Muhamad Shobry Abdullah menewaskan pelumba daripada pasukan Pahang yang mencatat masa 1 jam 40 minit 50 saat yang memperoleh pingat perak dan pelumba pasukan Melaka mendapat pingat gangsa dengan masa 1 jam 42 minit 32 saat.

Pelumba senior Terengganu, Muhamad Adiq Husainie yang juga pelumba kebangsaan ketika ditemui pemberita berkata kemenangan pingat emas hari ini merupakan hasil daripada kerjasama pasukan yang berjaya melaksanakan strategi yang dilakar bersama jurulatih mereka sebelum kejohanan bermula.

Penyampaian pingat acara itu disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, untuk pelumbaan yang melalui jejambat Semabok, Persimpangan Bukit Katil, Persimpangan Serkam di sepanjang lebuhraya Alor Gajah-Melaka-Jasin di sini, sebelum membuat pusingan U di kawasan Batu Gajah dan kemudian balik semula ke Taman Bandaraya Bukit Serindit.

Pasukan Kedah pula memperoleh pingat emas pertama acara berbasikal apabila mengungguli acara 50km ujian masa berpasukan wanita dengan masa 1 jam 16 minit 13 saat menewaskan pasukan Selangor (perak/1 jam 17 minit 13 saat) dan pasukan Terengganu (gangsa/1 jam 17 minit 24 saat).

Pasukan Kedah yang terdiri daripada Masziyaton Mohd Radzi, Nazimatul Husna Abu Bakar, Ruszatul Zanariah Mohd Yusof dan Sulha Sulaiman berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka pada Sukma di Terengganu dua tahun lepas.

Masziyaton pelumba senior Kedah yang juga pelumba kebangsaan berkata beliau dan rakan sepasukan amat berbangga dan gembira dapat menyumbang pingat emas untuk Kedah sekali gus dapat mengulangi kejayaan mereka pada Sukma dua tahun lepas.

"Kami harap dapat menang satu lagi emas untuk Kedah dalam 30km ujian masa individu esok," katanya.

Perlumbaan yang juga bermula di Taman Bandaraya Bukit Serindit melalui simpang Bemban, simpang Jasin, simpang Batu Gajah di sepanjang lebuhraya AMJ sebelum membuat pusingan U di Simpang Sungai Rambai dan kemudian berpatah balik ke Taman Bandaraya Bukit Serindit.

Perlumbaan pada hari ini dicemari oleh beberapa insiden yang melibatkan keselamatan antaranya perlanggaran pelumba wanita Sarawak dengan petugas perlumbaan di 200m terakhir, selain kenderaan awam yang mudah memasuki kawasan permulaan atau penamat yang boleh menyebabkan kerosakan peralatan pengukur masa.

Esok, berbasikal menawarkan empat pingat emas dalam acara 30km ujian masa perseorangan wanita, 40km ujian masa perseorangan lelaki, 50.4km kriterium wanita, dan 63km kriterium lelaki.- BERNAMA

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain