suria

Pulau Pinang, Selangor Ungguli Acara Karate Do

MELAKA: Pulau Pinang dan Selangor menguasai acara karate do, masing-masing memenangi dua pingat emas pada hari pembukaan acara itu di temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang berlangsung di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara di Masjid Tanah di sini, semalam.

Sebanyak enam pingat emas menjadi rebutan dan peserta Pulau Pinang, Tan Chee Sheng membuka tirai dengan mengungguli acara kata individu lelaki menewaskan Mohd Azuransyah dari Sabah.

Seorang lagi peserta Pulau Pinang, Chong Chew Teng menjuarai acara kata individu wanita untuk meraih emas, menewaskan peserta Sabah juga iaitu Zyen Faiezane.

Dua pingat emas Selangor dimenangi Laganeshaa Rao bagi acara kumite lelaki bawah 55 kilogram dan S.Senthilkumaran bagi kategori bawah 60 kilogram, dengan masing-masing menewaskan Mohd Khaliq dari Sarawak dan Leong Tze Ming dari Sabah.

Presiden Karate-Do Selangor M.Panaeerselvam berkata pencapaian dua emas hari ini sekaligus memenuhi sasaran pada Sukma kali ini setelah memenangi lima pingat perak pada Sukma edisi Terengganu.

"Dua emas hari ini begitu bermakna setelah kami tewas dalam lima acara akhir di Terengganu dan sebarang tambahan emas bagi 10 lagi acara yang akan ditandingi adalah bonus bagi pasukan kami," katanya ketika dihubungi Bernama.

Peserta karate do Kedah, N.Ambumalar pula merangkul emas apabila memenangi acara kumite wanita bawah 45 kilogram menewaskan Nur Eleena Anis dari Pulau Pinang.

A.Nisha dari Wilayah Persekutuan menggondol pingat emas bagi acara kumite wanita bawah 50 kilogram selepas menewaskan K.Jayasari dari Negeri Sembilan.

Esok, enam lagi pingat emas ditawarkan manakala pada Ahad, empat pingat emas menjadi rebutan pada hari terakhir pertandingan karate do. -BERNAMA

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain