suria

Larian Queen Baton 2010 Di Melaka Meriah

MELAKA: Lebih 2,000 orang hari ini menyertai Larian Queen Baton di sini, iaitu acara pembuka tirai Sukan Komanwel 2010 yang bakal berlangsung di New Delhi, India mulai 3 hingga 14 Okt depan.

Larian sejauh 17.2 kilometer itu bermula dari Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir sebelum menuju ke Rumah Media Melaka, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Larian Queen Baton, yang mendapat perhatian ramai, turut memeriahkan lagi negeri penganjur temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 itu.

Baton berkenaan tiba di Melaka dari Brunei dengan diiringi kumpulan penari kebudayaan India yang turut mengadakan persembahan sebelum larian bermula pada 8.30 pagi, iaitu selepas Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Vijay Gokhale menyerahkannya kepada Mohd Ali.

Baton itu kemudian diserahkan kepada Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Low Beng Choo untuk dibawa ke Kuala Lumpur bagi larian awam di Dataran Merdeka esok, sebelum ke Maldives dan India.- BERNAMA

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain