suria

Tze Liang Raih Emas Pertama Acara Terjun

MELAKA: Penerjun Pulau Pinang, Ooi Tze Liang menjadi atlet pertama meraih pingat emas acara terjun temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang membuka tirainya di Pusat Akuatik Hang Jebat di sini hari ini.

"Saya berpuas hati dengan keputusan yang saya terima hari ini. Ia adalah kejayaan daripada hasil usaha saya selama ini.

"Latihan bersama-sama skuad terjun kebangsaan di Fujian, China juga banyak membantu meningkatkan prestasi saya," kata Tze Lian, 17, yang terpilih untuk mewakili negara di Sukan Olimpik Remaja di Singapura, Ogos depan.

Pada acara 3m papan anjal lelaki yang berlangsung hari ini, Tze Liang memperoleh 397.00 mata untuk meraih pingat emas.

Pingat perak menjadi milik Muhammad Fakhrul Izzat Md Zain dari Wilayah Persekutuan dengan 370.75 mata manakala gangsa menjadi milik Ahmad Amsyar Azman dari Perlis dengan 352.35 mata.

Kejayaan pingat gangsa Ahmad Amsyar secara tidak langsung menyumbang pingat pertama kepada kontinjen Perlis pada temasya kali ini.

Katanya, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran pingat semasa menyertai temasya Sukma kali ini.

"Bagi saya, saya hanya perlu lakukan yang terbaik sahaja. Saya tidak sasarkan sebarang pingat emas," kata pelajar yang berasal dari George Town, Pulau Pinang itu.

Penyertaan pada temasya Sukma di Melaka ini adalah yang keempat bagi dirinya semenjak beliau berusia 10 tahun iaitu di Negeri Sembilan pada 2004.

Selain acara 3m papan anjal, Tze Liang juga akan mengambil bahagian dalam acara 1m papan anjal dan 10m platform individu. - BERNAMA

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain