suria

Melaka Terus Kuasai Kutipan Pingat Diikuti Negeri Sembilan

MELAKA: Kontinjen tuan rumah terus mendominasi carta pungutan pingat apabila menambah lagi tiga butir emas untuk mendahului dengan lapan emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 semalam.

Bagaimanapun, jiran terdekat Bandaraya Bersejarah ini iaitu Negeri Sembilan terus memberi saingan sengit dalam pungutan pingat setakat ini.

Negeri Sembilan kini mengekori dengan empat pingat emas, manakala Sarawak setakat ini berada di tempat ketiga dengan dua pingat emas.

Melaka terus mendominasi acara wushu apabila meraih tiga daripada tujuh pingat emas yang ditawarkan.

Tiga emas disumbangkan menerusi juara dunia, Hock Mun Hua dalam acara Nandao lelaki, Chai Fong Wei bagi acara Daoshu wanita dan Ng Shin Yii menerusi acara Taijijian wanita.

Sementara Negeri Sembilan menyekat penguasaan penuh Melaka dalam acara wushu pada Sukma kali ini dengan turut meraih tiga pingat emas.

Pingat emas mereka diperolehi melalui acara Jiansu lelaki dan wanita menerusi Phoon E. Yin dan Wong Wen Son manakala sebutir lagi menerusi Tai Cheau Xuen dalam acara Nandao wanita.

Dalam perkembangan lain, berdasarkan kepada aduan dan pandangan yang diterima daripada semua kontinjen, Sekretariat Sukma telah memutuskan supaya tiada sajian daging lembu akan disediakan demi menjaga sensitiviti sesuatu kaum.

Pada temasya kali ini, sebanyak 20 katerer terlibat dalam penyediaan makanan untuk kira-kira 12,000 orang atlet dan pegawai.

Pada acara terakhir yang berlangsung semalam, pesilat Terengganu mempamerkan persembahan yang membanggakan dengan menyumbang dua pingat emas untuk kontinjen itu.

Pingat emas diperolehi melalui Mohd Fadzli Ismail dan Nurul Syahidah Hishamuddin, masing-masing dalam acara Solo Kreatif Putra dan Putri.

Sementara trio Pahang, Mohd Faiz Abdul Malek, Mohd Taqiyuddin Hamid dan Mohd Firdaus Sabarudin meraih pingat emas dalam acara Regu Putra.

Dalam acara Regu Putri, Nur Hidayah Musa, Nuraziemah Abdul Ghani dan NurKhuzaimah Mohd Faeree menyumbang pingat emas pertama Wilayah Persekutuan.

Hari ini, selain wushu dan gimnastik artistik, sebanyak lima acara sukan akan membuka gelanggang masing-masing iaitu angkat berat, renang, terjun, karate-do, lawan pedang dan ekuestrian.

Sebanyak 37 pingat emas lagi menjadi buruan semua atlet hari ini.

Acara angkat berat menawarkan satu pingat emas, gimnastik artistik (10), renang (8), terjun (1), karate-do (6), wushu (7), lawan pedang (1) dan ekuestrian (2).

Upacara pembukaan temasya dwitahunan itu akan diadakan di Stadium Hang Jebat di sini esok.

- BERNAMA

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain