suria

Loh Sasar Emas Acara Wushu Sukan Asia

MELAKA: Setelah merangkul dua emas pada Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di sini, atlet wushu Sarawak Loh Jack Chan kini mengimpikan kilauan emas pada Sukan Asia di Guangzhou pada November nanti.

Loh, 23, berkata selain latihan bersama skuad kebangsaan, beliau akan turut mengikuti pertandingan wushu di Shanghai dan Beijing, China, pada Julai dan Ogos sebagai persediaan untuk Sukan Asia.

"Ini adalah Sukma terakhir saya. Selepas ini saya akan menumpukan sepenuhnya pada pertandingan peringkat dunia," katanya selepas majlis penyampaian pingat di Kompleks Sukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem).

Anak kelahiran Miri itu menunjukkan aksi cemerlang dan mengatasi para peserta lain dalam kategori Taijijian hari ini dan Taijiquan Rabu lepas.

Walaupun berpuas hati dengan pencapaiannya di Sukma kali ini, beliau berpendapat masih mampu prestasi yang lebih baik.

Loh berminat untuk menceburi sukan wushu sejak berusia 13 tahun setelah menyaksikan persembahan wushu di sekolahnya.

Beliau diserap ke dalam skuad kebangsaan pada hujung 2006 dan sejak itu sering mewakili negara ke kejohanan peringkat antarabangsa termasuk Kejohanan Wushu Dunia dan Sukan Sea.

Pencapaian terbaik Loh setakat ini ialah emas pada Sukan Sea di Laos dan perak pada Kejohanan Wushu Dunia di Kanada tahun lepas.

Sarawak meraih lima pingat termasuk dua emas dan tiga perak daripada sembilan pingat yang dipertandingkan pada acara wushu pagi ini.

Selain Loh, emas Sarawak yang satu lagi digondol dalam acara Gunshu wanita oleh Amelia Su.

Tuan rumah Melaka turut memperoleh satu emas melalui Ong Shi Chuan yang memenangi acara Gunshu lelaki.

- BERNAMA

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain