suria

Korea Utara Mahu Tebus Kekecewaan

LALUAN Korea Utara ke pusingan suku akhir Piala Dunia 1966 masih dianggap antara cerita menarik tetapi pemain tengahnya, An Yong-hak mahu membalas dendam terhadap Portugal yang menyingkirkan mereka, 44 tahun lalu.

The Chollima mara ke kelompok lapan terakhir di England selepas menewaskan Itali dalam peringkat kumpulan dan mendahului Portugal 3-0 sebelum Eusebio bangkit untuk memastikan Korea tersingkir dengan keputusan 3-5.

"Balas dendam. Kami mahu menebus kembali kekecewaan pada 1966," katanya.

Dalam penampilan kedua Korea Utara di pusingan akhir Piala Dunia, pasukan itu menduduki ranking ke-91 dan diletakkan dalam 'Kumpulan Maut' bersama Brazil, Portugal dan Ivory Coast.

Bagaimanapun, Korea Utara optimis mengenai peluang mereka untuk melangkah ke pusingan kedua dan penyerang Jong Tae-se menjangka kemenangan mengejut ke atas Brazil pada perlawanan pertama Kumpulan G pada 15 Jun ini.

Walaupun mengakui kekuatan Brazil, dia menegaskan apa saja boleh berlaku dan Korea Utara mampu mengutip tiga mata penuh daripada juara dunia lima kali itu.

"Brazil adalah pasukan terkuat di dunia. Mereka tidak mempunyai banyak kelemahan. Memang kami tidak mempunyai banyak peluang untuk menang tetapi apa saja kemungkinan boleh berlaku," katanya.

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain