suria

Jerman Pertaruh Bisa Pemain Muda

KETIADAAN tonggak utama Jerman, Michael Ballack tidak sedikitpun menjejaskan persediaan pasukan itu sebaliknya membawa rahmat pada aksi Piala Dunia kali ini.

Jerman dilihat tidak perlu bergantung sepenuhnya terhadap pemain tengah itu, malah kini semua pemain perlu menerapkan semangat berpasukan dan bekerja lebih keras untuk menjulang trofi kejuaraan utama dunia berkenaan.

Jerman, juara dunia tiga kali antara pasukan pilihan untuk muncul juara saingan peringkat kumpulan tetapi segalanya bergantung kepada corak permainan pemain kurang berpengalaman mereka.

Pengurus Joachim Loew yang merupakan pembantu Juergen Klinsman apabila Jerman melangkah ke separuh akhir di gelanggang sendiri empat tahun lalu, bersedia menurunkan barisan sedia ada untuk merealisasikan harapan rakyat negara itu.

Tindakan Loew menyenaraikan Miroslav Klose dalam 23 skuad akhir Jerman menimbulkan tanda tanya memandangkan dia mempamerkan prestasi hambar bersama Bayern Munich musim ini. Namun, Loew mempunyai alasan tersendiri menurunkan Klose untuk memperkukuhkan jentera serangan pasukan.

Klose, 32, menjaringkan lima gol dalam setiap dua perlawanan Piala Dunia sebelum ini dan sentiasa melakukan kejutan pada permulaan saingan.

Beberapa muka baru seperti pemain tengah, Sami Khedira dan Mesut Ozil serta penyerang Thomas Mueller sudah pastinya menjanjikan sesuatu diluar jangkaan tetapi Loew tahu, skuadnya perlu menggandakan usaha tanpa Ballack.

"Kami terdiri daripada pemain muda dan perlu melakukan sesuatu untuk menutup bayang-bayang itu. Mungkin kami akan menyinar dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya.

Selepas pertemuan dengan Australia, Jerman akan menentang Serbia pada 18 Jun ini di Port Elizabeth. Mereka perlu berada pada tahap tertinggi sebelum bertemu Ghana di Johannesburg, empat hari kemudian.

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain