suria

S. Navinraj Sandaran Emas Pada Olimpik Remaja

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mempertaruhkan atlet lompat tinggi muda negara S. Navinraj sebagai penyumbang emas pada kejohanan sulung Sukan Olimpik Remaja 2010 di Singapura dari 14 hingga 26 Ogos ini.

Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim berkata jika Navinraj boleh mencatat lompatan sehingga 2.25 meter, beliau mempunyai harapan untuk memenangi pingat emas bagi acara tersebut.

"Saya fikir tidak mustahil bagi Navinraj mencapai sasaran tersebut kerana beliau pernah membuat lompatan terbaik 2.14 meter pada kejohanan KOAM tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

KOAM bercadang menghantar tiga atlet ke Singapura setelah ketiga-tiga mereka termasuk Navinraj berjaya melepasi ujian kelayakan yang berlangsung di Singapura pada 20 Mei lepas.

"Tiga nama tersebut sudah dipersetujui oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan kini kami sedang menunggu lampu hijau pula dari Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF)," katanya.

Dua atlet lain itu ialah Mohd Ajmal Aiman Mat Hasan bagi acara 110 meter lari berpalang dan Mohd Fahme Zam Zam Mehamed untuk acara lompat bergalah. Olimpik Remaja hanya melibatkan atlet bawah 17 tahun bagi acara olahraga.

- BERNAMA

Artikel Lain