suria

Gimnas Johor Cipta Kejutan

JASIN: Johor mencipta kejutan apabila Wan Mohd Akmal Hakim Wan Mohd Zain muncul juara dalam acara gimnastik artistik individu lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di sini hari ini.

Pada saingan di Dewan Politeknik Merlimau di sini, gimnas Johor itu berjaya memperoleh jumlah mata 73.500 untuk mengalahkan juara bertahan Mohd Azzam Azmi dari Selangor yang menerima pingat perak dengan catatan 75.100 mata.

Pingat gangsa disandang oleh seorang lagi gimnas Selangor, Danniel Iskandar dengan perolehan mata 74.150.

Jurulatih Johor, Stanoy Borisov dari Bulgaria, ketika ditemui Bernama, berkata beliau berbangga dengan kemampuan Wan Mohd Akmal Hakim mengatasi dua gimnas pilihan dari Selangor itu.

Sementara itu, gimnas negara yang mewakili Selangor, Farah Ann Abd Hadi menepati ramalan apabila memperolehi pingat emas dalam acara gimnastik artistik individu wanita dengan jumlah mata sebanyak 52.100.

Farah Ann, yang kali ketiga menyertai Sukma, memperolehi 12.900 mata untuk disiplin melombol, palang bertingkat (13.100), batang titian (12.800) dan senaman lantai (13.300).

Pingat perak dimenangi oleh atlet bukan pilihan dari Pahang, Norhasleen Fatihin Hasnan dengan memperolehi jumlah mata sebanyak 51.850 manakala gimnas harapan Melaka, Tracie Ang hanya mampu memperolehi pingat gangsa dengan 51.250 mata.

Farah Ann berkata beliau tidak menjangka kejayaan itu kerana terpaksa menghadapi saingan sengit dari peserta lain.

Bagaimanapun, beliau bangga kerana akhirnya meraih gelaran itu selepas menyertai Sukma pada 2006 dan 2008.

Saingan gimnastik akan bersambung esok dengan menawarkan enam pingat emas bagi enam acara apparatus gimnas lelaki dan empat pingat emas bagi empat acara apparatus gimnas wanita. -BERNAMA

Artikel Lain