suria

Selangor Raih Emas Pertama Menerusi Gimnastik Berpasukan Lelaki

JASIN: Selangor semalam meraih pingat emas pertama Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 melalui pasukan gimnastik artistik berpasukan lelaki.

Selangor memungut 296.1 mata menewaskan Pulau Pinang yang memperolehi pingat perak dengan 284.4 mata.

Pada pertandingan yang berlangsung di Dewan Politeknik Merlimau di sini, Sabah memperolehi pingat gangsa dengan catatan 272.8 mata.

Selangor yang dianggotai dua gimnas negara iaitu Mohd Azzam Azmi dan Daniel Iskandar bersama empat lagi rakan mereka iaitu Raja Firdaus Raja Aziz, Choo Yinn Haur, Tan Fu Jie dan Subhan Sudarshan berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi berturut-turut sejak Sukma ke-5 di Perak pada 1994.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, pengurus pasukan Selangor James Ng berkata beliau berpuas hati dengan persembahan para gimnasnya dan kemenangan ini merupakan satu usaha secara berkumpulan.

"Saya telah menjangka Selangor akan mempertahankan gelaran ini, tetapi saya dan pasukan tetap berusaha dengan kuat kerana mengetahui pasukan Pulau Pinang mempunyai gimnas yang mampu menggugat kedudukan kami," katanya.

Mohd Azam pula berkata beliau bersyukur kerana dapat beraksi dengan cemerlang bersama anggota pasukannya yang lain untuk meraih pingat emas.

Beliau berbangga kerana dapat mengekalkan pingat emas yang dimenangi Selangor selama ini dan akan terus berusaha kerana masih ada kategori lain yang perlu dimenangi.

Acara gimnastik akan bersambung esok dengan menawarkan sebutir pingat emas dalam acara berpasukan wanita di mana penonton tempatan mengharapkan pasukan Melaka yang turut diwakili gimnas negara, Chong See Ting dapat mengekalkan pingat emas yang diperolehi pada Sukma ke-12 di Terengganu.

- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia

Artikel Lain