suria

Skuad Wushu Sasar Satu Emas Di Sukan Asia Guangzhou

KUALA LUMPUR: Skuad wushu negara mensasarkan untuk mengekalkan satu pingat emas pada Sukan Asia ke-16 yang bakal berlangsung di Guangzhou, China mulai 13 November ini.

Jurulatih negara Yong Thong Fong berkata, harapan satu emas itu diletakkan pada bahu seorang daripada tujuh jaguh wushu yang terpilih bertanding di kejohanan yang berakhir pada 21 November itu.

"Setakat ini, saya tidak dapat meramal siapa yang bakal meraih pingat emas dari Sukan Asia kerana semua atlet berpotensi menyumbangkan pingat.

"Senarai akhir tujuh atlet yang akan bertanding di Guangzhou akan dikeluarkan selepas berakhirnya Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Malaysia meraih satu emas menerusi Chai Fong Ying dalam acara Taijiquan (acara pedang wanita) pada Sukan Asia Doha 2006.

Yong berkata selepas Sukma, skuad kebangsaan akan menyertai Kejohanan Wushu Antarabangsa di Shanghai pada Julai sebelum ke Beijing untuk Sukan Tempur Ogos ini. - BERNAMA

Artikel Lain