suria

Malaysia Sasar Kekal Pada Tahap Satu Kejohanan Bawah 18 FIBA

KUALA LUMPUR: Skuad bola keranjang wanita kebangsaan mensasarkan untuk kekal dalam tahap satu pada kejohanan Bola Keranjang Bawah 18 tahun Persekutuan Bola Keranjang Asia (FIBA) ke-20 yang akan berlangsung di Suratthani, Thailand mulai 23 Jun ini.

Penolong jurulatih negara, Yoong Sze Yuin berkata kejohanan yang berlangsung sehingga 30 Jun itu, disertai 12 negara dan dibahagikan kepada dua bahagian, tahap satu dan tahap dua dengan enam pasukan terbaik dalam edisi sebelum ini akan bersaing di tahap satu, dan selebihnya di tahap dua.

"Malaysia kini bersaing di tahap satu selepas menduduki tangga kelima pada edisi sebelum ini di Medan, Indonesia, dua tahun lepas," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pada edisi Indonesia, Malaysia berada di belakang Taiwan, Korea Selatan, China dan Jepun.

Yoong berkata skuad kebangsaan yang dibarisi 20 pemain, kini dilepaskan bagi mewakili negeri masing-masing pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka yang bermula Khamis ini sehingga 19 Jun.

"Prestasi mereka di Sukma akan dinilai dan hanya 12 pemain terbaik bakal terpilih ke kejohanan di Thailand," katanya.

Saingan hebat skuad negara, katanya, ialah Jepun yang juga juara bertahan pada edisi Indonesia.

Pada kejohanan di Thailand, Malaysia akan bersaing dengan China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Kazakhstan.

- BERNAMA

Artikel Lain