suria

Empat Atlet Akuatik Ke Temasya Olimpik Remaja Di Singapura

KUALA LUMPUR: Empat atlet akuatik, dua penerjun dan dua perenang, terpilih memikul cabaran negara ke temasya sulung Kejohanan Olimpik Remaja 2010 yang berlangsung di Singapura mulai 14 Ogos depan.

Setiausaha kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) Edwin Chong berkata, pasangan atlet remaja Ooi Tze Liang dan Pandelela Rinong terpilih mewakili negara dalam acara terjun, manakala sandaran negara dalam acara renang pula digalas oleh Kevin Lim dan Lai Wei Li.

"Ini adalah kali pertama kami mengambil bahagian dalam temasya olimpik remaja, oleh itu sukar untuk meletakkan sasaran pingat.

"Namun begitu, Asum meletakkan harapan kepada atlet terjun negara, Pandelela atas pencapaiannya yang membanggakan dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA (Persekutuan Renang Antarabangsa ) tahun lalu", katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pandelela meraih tempat ketiga dalam acara 10 meter Terjun Berirama berkumpulan pada kejohanan siri dunia FINA tahun lalu di Rom.

Ooi merupakan pemenang pingat perak dalam acara berkumpulan 3 meter Terjun Berirama pada kejohanan peringkat Umur Asia di Tokyo, tahun lepas sementara Kevin ialah seorang daripada kuartet Foo Jian Beng, Daniel Bego dan Kevin Yeap yang memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA di Laos, Disember lepas.

Lai pula adalah pemenang pingat emas acara 800m gaya bebas pada kejohanan renang Kumpulan Umur Asia Tenggara di Bukit Jalil, tahun lepas.

Edwin berkata kesemua atlet itu mewakili negara pada kejohanan renang yang berlangsung sehingga 26 Ogos, berdasarkan pemilihan yang dibuat FINA.

Artikel Lain