suria

Pusat Satelit ISN Bantu Lahir Atlet Berprestasi Tinggi

MELAKA: Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) akan membantu atlet menambah ilmu pengetahuan mengenai fungsi sains dan perubatan sukan dalam usaha memantapkan lagi prestasi mereka.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pusat berkenaan dilengkapi dengan peralatan moden serta tenaga mahir dalam bidang sains dan perubatan sukan.

"Khidmat sokongan sains dan perubatan sukan akan diperluaskan ke peringkat negeri supaya pembangunan atlet dari peringkat usia muda lagi dapat dimajukan secara sistematik dan saintifik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Satelit ISN Melaka di Stadium Hang Jebat dekat sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata pendekatan yang digunakan oleh pusat berkenaan mampu melahirkan atlet berprestasi tinggi yang cergas dan cerdas sesuai dengan keperluan atlet era baru.

Beliau berkata Pusat Satelit ISN Melaka adalah yang ketujuh dalam negara, yang memfokuskan empat perkhidmatan sains dan perubatan sukan iaitu suaian fizikal, psikologi sukan, pemakanan sukan dan fisiologi sukan.

Katanya pusat itu juga menggunakan komponen aplikasi sukan yang diguna pakai oleh negara yang mempunyai nama besar dalam bidang sukan.

- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia

Artikel Lain