suria

Loew Yakin Dengan Keupayaan Pemain Sedia Ada

JOHANNESBURG: Jerman berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada Piala Dunia walaupun kehilangan pemain-pemain utamanya beberapa jam sebelum berlepas ke Afrika Selatan, semalam.

Kecederaan memaksa Jerman mengetepikan kapten Michael Ballack (gambar) dan empat pemain lain sekali gus mengehadkan pilihan pemain di bahagian tengah menjelang aksi kemuncak 11 Jun hingga 11 Julai ini.

Namun, dua kemenangan selesa ke atas Hungary dan Bosnia beberapa hari lalu membuktikan Jerman berupaya melakar kejutan tanpa kelibat beberapa tonggak utama pasukan.

"Kami akan melangkah ke perlawanan ini dengan persediaan rapi. Saya yakin dengan kualiti yang dimiliki pasukan kami," kata Pengurus Jerman, Joachim Loew.

Pasukan itu akan tiba di ibu negara Afrika hari ini dan berlepas ke kem mereka di Pretoria.

Walaupun belum menetapkan senarai kesebelasan utama untuk memperkuat tembok pertahanan dan jentera serangan Jerman, Loew dijangka melakukan perubahan di bahagian tengah.

Sami Khedira dan Bastian Schweinsteiger akan memainkan peranan utama untuk mengisi ketiadaan Ballack. Thomas Mueller turut mengisi senarai 23 skuad akhir Jerman selepas beraksi cemerlang bersama Bayern Muncih sepanjang kempen Bundesliga musim lalu.

"Kami tahu apa yang perlu dilakukan. Kebanyakan daripada kami pernah melalui situasi seperti ini," kata Schweinsteiger.

Jerman akan bertemu Australia pada perlawanan pembukaan Kumpulan D, 13 Jun ini sebelum menentang Serbia dan Ghana.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia

Artikel Lain