suria

Sebuah Stadium Ragbi Nasional Diperlukan

KUALA LUMPUR: Negara perlu mempunyai sebuah stadium ragbi nasional demi mengangkat mutu sukan itu di peringkat antarabangsa lebih-lebih lagi memandangkan ragbi negara akan dipertandingkan pada peringkat Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

Pengarah Lembaga Pertandingan Persatuan Ragbi Putrajaya (PRP) Ahmad Sufiani Johari berkata jika dulu skuad ragbi Malaysia berada di kedudukan tercorot dalam ranking International Rugby Board (IRB), kini menjadi pasukan terkuat di Asia Tenggara dengan kedudukan 57 terbaik dunia.

"Apa yang kita perlukan kini adalah untuk memiliki Stadium Ragbi Nasional bagi membolehkan pihak Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menganjurkan liga-liga ragbi peringkat kebangsaan," katanya.

Bekas juruterbang Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan anak kepada bekas seorang pemain ragbi Perak All Star yang terkenal satu ketika dulu itu berkata harapannya adalah untuk membangunkan sukan itu sehingga menjadi popular setaraf dengan badminton dan bola sepak.

"Kini saya bersama persatuan sedang giat berusaha melakukan program pembangunan di peringkat akar umbi bagi mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan ragbi khususnya remaja yang berusia bawah 19 tahun," kata Ahmad Sufiani kepada Bernama.

Beliau berkata melalui program pembangunan ragbi peringkat akar umbi yang dinamakan "Now Everyone Can Try Putrajaya" pada Mei lepas, pihaknya berjaya mencungkil lebih 35 bakat baru dengan sebilangan besarnya telah diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

"Usaha seperti ini perlu diteruskan agar kita mampu melahirkan pemain handalan yang bertaraf antarabangsa pada satu hari nanti," katanya.

Kejayaan terbesar yang pernah disumbangkan oleh Ahmad Sufiani, 35, ialah membawa pasukan Perlis menjuarai Liga Piala Presiden KRM 2008 dan membawa Skuad Perlis mara ke peringkat separuh akhir Piala Agong bagi tahun 2008 dan 2009.

Ahmad Sufiani berkata, dorongan kuat daripada arwah bapanya telah mendorongnya terlibat secara aktif dalam membangunkan sukan ragbi di negara ini.

Artikel Lain