suria

Pemain Golf Negara Perlu Lebih Konsisten

MELAKA: Pemain golf amatur dan profesional di negara ini perlu lebih konsisten dalam usaha memartabatkan diri mereka sebagai pemain golf bertaraf antarabangsa.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata pemain golf di negara ini kurang menyerlah berbanding pemain dari negara Asia lain seperti Thailand, Jepun, India dan Korea Selatan kerana mereka kurang konsisten walaupun mampu memenangi beberapa kejohanan yang disertai.

"Dengan pelbagai program yang dirancang, banyak yang kita boleh lakukan untuk para pemain," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 Cabaran Golf oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.

Zolkples berkata kejohanan itu dapat mencungkil bakat baru sukan golf seperti Keegan Kam, 21, yang bakal mewakili Melaka dalam temasya Sukma dari 10 hingga 19 Jun di negeri ini.

Beliau yang turut menyertai kejohanan itu berkata sekiranya pemain golf dapat menunjukkan prestasi yang baik di peringkat antarabangsa, tidak mustahil sukan itu dimasukkan dalam senarai sukan wajib Sukma pada masa akan datang.

Dalam kejohanan itu, kategori Gross diungguli oleh Mohd Shahnizam Mohd Mohagi, 32, yang memiliki 0 handicap mewakili Clear Water Golf and Country Club dengan 70 mata gross memenangi hadiah berjumlah RM4,688.

Kategori Nett pula dikuasai oleh Mohd Parizan Abdul Karim, 46, yang memiliki 15 handicap mewakili Kuala Terengganu Golf and Country Club dengan 63 mata nett memenangi hadiah berjumlah RM4,688.

Kejohanan itu turut disertai Mohd Khalil, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang bermain dalam kategori jemputan.

Artikel Lain