suria

Malaysia Belasah Singapura 4-1

KOTA KINABALU: Malaysia memperlihatkan keupayaan serangan berbisa apabila membelasah Singapura 4-1 pada perlawanan Pesta Gabungan Bolasepak Asia (AFC) Asia Tenggara 2010 bawah 14 tahun di Stadium Likas, di sini hari ini.

Muhd Aiedil Shafiq membuka jaringan untuk Malaysia seawal minit keempat sebelum penyerang Singapura Mohd Amirul Adli Azmir menyamakan kedudukan pada minit ke-16.

Tersentak dengan serangan balas lawan, Malaysia, yang dibarisi sembilan pemain dari Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), memperkukuhkan serangan sehingga memaksa pemain Singapura menggunakan taktik bertahan menangkis asakan.

Kesungguhan pemain negara membuahkan hasil apabila penyerang Akram Asidi berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-37 dan ke-42.

Amirul Shafiq Isa Sham kemudian menambahkan gol keempat pada minit ke-54, sekaligus menyukarkan pasukan Singapura merapatkan jurang gol.

Pada sebelah petang, Malaysia seri tanpa jaringan dengan Laos pada perlawanan terakhir temasya empat hari Pesta Bola Sepak Asia Tenggara yang diadakan bertujuan meningkatkan pembangunan sukan itu di rantau ini.

"Permainan kami sangat baik. Kami bermain dengan baik dan melakukan jaringan yang baik," kata Khairuddin Saisi, Penolong Pengetua SSBP yang mengiringi pasukan Malaysia di sini.

Beliau berkata pasukan juara kejohanan itu akan dikekalkan sebagai persediaan menghadapi kejohanan bola sepak Piala Asia bawah 15 tahun.

Artikel Lain