suria

Lima Beradik Galas Cabaran Skuad Pelayaran Kedah Di Sukma

LANGKAWI: Lima beradik merupakan antara 15 atlet yang akan menggalas cabaran Kedah dalam acara perahu layar pada Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka bermula 10 Jun ini.

Mereka ialah Siti Noorbaidurah Mohd Afendy, 20, dan Khairunisa, 18, bagi kelas International 420, Khairulnizam, 17, (Laser Standard), Khairunita, 15, (International 470) serta Khairunhana, 13, (Laser 4.7).

Timbalan Presiden Persatuan Perahu Pelayar Kedah Mohd Afendy Abdullah berkata pelayar elit Khairulnizam diyakini untuk memenangi pingat, sementara dua kakaknya Khairunisa dan Siti Noorbaidurah berganding bahu bagi mencatat kejayaan dalam kelas International 420.

Selain itu, Mohd Affendy memberitahu Bernama di sini hari ini, Kedah turut menaruh harapan kepada Ahmad Latif Khan dan Mohamad Ihsan dalam kelas Optimist untuk meraih pingat menerusi acara individu dan berpasukan.

Kesemua 15 pelayar Kedah telah berada di Melaka untuk mengadakan persiapan terakhir menjelang temasya sukan kebangsaan itu, katanya.

Beliau berkata Kedah mensasarkan sekurang-kurangnya dua emas dalam acara perahu layar. Kedah dijangka menghadapi saingan sengit daripada pelayar-pelayar Selangor, Johor, Perak dan Negeri Sembilan, katanya.

Mohd Afendy yang juga Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) berkata pelayar-pelayar elit dan pelapis kebangsaan yang menjalani latihan di Langkawi dibenarkan kembali untuk mewakili negeri masing-masing pada Sukma 2010.

Mereka adalah 30 pelayar yang sedang membuat persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di China pada hujung tahun ini, katanya.

Artikel Lain