suria

KBS Bantu Persatuan Belia Anjur Sukan Ekstrim

MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan akan membantu persatuan belia menganjurkan sukan ekstrim melibatkan golongan muda, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata sukan ekstrim seperti sukan permotoran dan udara, masih baru di negara ini dan belum menjadi satu budaya di kalangan rakyat.

"Kementerian akan melihat kemudahan yang ada pada persatuan belia itu dan bagaimana mereka dapat menimbulkan minat golongan muda dalam program pembangunan sukan ekstrim yang mereka rancangkan," katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2010 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Melaka Datuk Abdul Karim Sulaiman.

Ahmad Shabery berkata Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) mungkin boleh dilibatkan bagi menghasilkan peralatan untuk sukan berkenaan seperti membuat pesawat kawalan jauh.

"Dengan langkah itu kos bagi membeli sesebuah pesawat kawalan jauh atau peralatan lain untuk sukan ekstrim ini akan menjadi lebih murah," katanya.

Mengenai Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 yang akan berlangsung di Melaka dari 10 hingga 19 Jun ini, Ahmad Shabery berkata semua persiapan oleh Melaka sebagai tuan rumah berjalan lancar.

- BERNAMA

Artikel Lain