suria

Gol Jaringan Amirul Bantu Malaysia Seri 1-1 Dengan Myanmar B

KOTA KINABALU: Malaysia A membenarkan Myanmar B bangkit semula untuk mencapai keputusan seri 1-1 pada Pesta Gabungan Bolasepak Asia (AFC) Asia Tenggara 2010 bawah 14 tahun di Stadium Likas di sini hari ini.

Amirul Shafiq Isa Shah dari Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) meniup semangat pasukan negara apabila membuka jaringan seawal minit pertama sebelum Myanmar B menyamakan kedudukan menerusi penyerang Zaw Zaw Aung pada minit ke-20.

Malaysia A, yang dibarisi oleh sembilan pemain SSBP, sebelum ini membuka saingan dengan menewaskan Indonesia A 1-0 dan Vietnam B 2-0.

"Saya tertarik dengan persembahan pemain setakat ini khususnya Amirul, Hakimi Hussin dan Shafiq Azreen Saari. Saya harap mereka akan meneruskan persembahan sama menentang Vietnam esok," kata penolong pengetua SSBP, Khairuddin Saisa, yang mengiringi pasukan Malaysia di sini.

Sementara itu, pasukan Malaysia B gagal meraih mata penuh apabila seri tanpa jaringan menentang Laos A.

Sebelum itu, pasukan Malaysia B mencapai keputusan sama menentang Filipina A dan Thailand A. - BERNAMA

Artikel Lain