suria

GAPGOC Pastikan Sukan Para Asia Sama Meriah Dengan Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa penganjur Sukan Para Asia Guangzhou (GAPGOC) berjanji untuk menjadikan Sukan Para Asia yang pertama bagi atlet paralimpik tidak dibayangi oleh kemeriahan Sukan Asia, kata ketua kontinjen Malaysia, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

Dr Ramlan, yang berada di bandaraya Guangzhou, China, selama dua hari minggu lepas, berkata GAPGOC memastikan kesemua venue serta kemudahan di perkampungan sukan mengikut spesifikasi serta mesra kegunaan bagi atlet paralimpik.

"GAPGOC memberi perakuan untuk memastikan Sukan Para Asia sama meriah dengan Sukan Asia bagi atlet normal dan tidak akan menjadi sukan sekunder di bandar raya tersebut yang menjadi tuan rumah kedua-dua temasya peringkat Asia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Ramlan, yang juga Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), berkata 19 venue dan perkampungan sukan akan digunakan.

"Kesemua venue serta perkampungan sukan tersebut turut dilengkapkan dengan kemudahan bagi atlet paralimpik termasuk pengangkutan yang ditempah khas," katanya.

Edisi sulung Sukan Para Asia akan berlangsung dari 12 hingga 19 Dis ini, tiga minggu selepas berakhirnya Sukan Asia di Guangzhou dari 13-21 Nov ini.

Sukan Para Asia sebelum ini dikenali sebagai Temasya Sukan Timur Jauh dan Pasifik Selatan Untuk Orang Kurang Upaya (Fespic) dan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah terakhir temasya tersebut pada 2006 sebelum ditukar nama menjadi Sukan Para Asia.

Dr Ramlan berkata walaupun atlet paralimpik akan menggunakan stadium dan gelanggang yang sama digunakan oleh atlet normal ketika Sukan Asia, GAPGOC memastikan venue tersebut turut menyedikan kemudahan bagi atlet paralimpik.

Seramai 3,000 atlet daripada 41 negara dijangka menyertai Sukan Para Asia itu yang mempertandingkan 19 acara sukan dan temasya ini juga akan menjadi ujian kelayakan bagi menempah tiket ke Sukan Paralimpik di London pada 2012.

Malaysia menyandarkan harapan kutipan pingat daripada enam acara iaitu renang, olahraga, memanah, powerlifting, badminton dan tenpin boling.

Ketika ini, sesi ujian kelayakan ke Guangzhou sedang berlangsung dan seramai 64 atlet negara di bawah kendalian Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) menjalani latihan di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil di sini.

Artikel Lain