suria

Larian Obor Sukma Peringkat Ke-25 Berlangsung Di DUN Klebang

MELAKA: Lebih 100 peserta menyertai acara larian obor peringkat ke-25 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang hari ini sempena Sukan Malaysia ke-13 (Sukma) Melaka.

Menjelang dua minggu sebelum perasmian temasya sukan itu Stadium Hang Jebat di sini, larian sejauh 25km itu dirasmikan oleh anggota DUN Klebang, Datuk Seet Har Cheow, di Dataran 1Malaysia di sini.

Larian itu melalui Kampung Klebang Besar, Kampung Pulau Gadong, Rumah Awam Bukit Rambai, Kampung Maya Mengkuang, Taman Cenderawasih dan berakhir di Lereh.

Turut hadir pada perasmian larian itu ialah Anggota Parlimen Tangga Batu Datuk Idris Haron dan Ahli DUN Paya Rumput Datuk Tahir Hassan.

Persembahan tarian singa, pukulan kompang dan gendang tradisional masyarakat India mengekori acara larian dengan menaiki sebuas bas terbuka Penaroma Melaka, milik kerajaan negeri, bagi memberi semangat kepada peserta larian.

Larian baton peringkat pertama bermula di DUN Kuala Linggi pada 28 Feb lepas dan akan dibawa merentasi semua DUN sebelum berakhir di DUN Paya Rumput pada 12 Jun ini, iaitu pada hari perasmian Sukma.

Sukma Melaka yang bertemakan 'Perpaduan Remaja Melalui Sukan' akan mempertandingkan 33 acara sukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain