suria

Pertandingan Futsal Libatkan 32 Pasukan Guna Nama Negara Ke Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Sebanyak 32 pasukan yang akan menyertai satu pertandingan di Ipoh pada Ahad ini akan menggunakan nama negara-negara yang bertanding pada Piala Dunia di Afrika Selatan bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Zainol Padzi Paharudin berkata ini adalah satu gimik yang dilakukan untuk menarik pengunjung ke pertandingan itu yang akan berlangsung di Stadium Perak.

"Sebenarnya 32 pasukan yang berentap itu adalah pasukan dari daerah-daerah di sekitar negeri Perak. Kita akan mencabut undi untuk menentukan pasukan-pasukan ini mewakili negara apa.

"Ini juga sebagai perangsang supaya satu hari nanti negara kita akan disenaraikan antara 32 negara itu," katanya pada sidang akhbar di sini bagi mengumumkan mengenai perlawanan antara bintang lagenda Perak dan Selangor sempena sorakan 1Malaysia 1Dunia peringkat negeri Perak.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahaya.

Program Sorakan 1Malaysia 1Dunia yang diadakan empat tahun sekali sempena dengan Piala Dunia ini adalah anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan kali ini dengan kerjasama Perak Cup 2010.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini akan diserikan dengan pertembungan antara pasukan Lagenda Perak dan Lagenda Selangor pada 8.45 malam hari pertama di Stadium Perak dan akan disiarkan secara langsung melalui TV1.

Zainol Padzi berkata perlawanan ini adalah bagi mengembalikan semula nostalgia lama permusuhan tradisi dan menunjukkan yang negara ini mempunyai ramai pemain handalan.

Pengunjung juga dapat menyaksikan pasukan lain antaranya pasukan pilihan Menteri Besar menentang Malay All Boys Singapura yang diketuai bekas penyerang republik itu, Malek Awab, pertembungan RTM dengan Media Prima, Majlis Bandaraya Ipoh menentang pasukan karyawan dan Majalah Stadium menentang pasukan artis.

Artikel Sebelum

Artikel Lain