suria

PLBJ Tidak Letak Sasaran Tinggi Untuk Pelumba Di Sukma Melaka

KUALA LUMPUR: Persatuan Lumba Basikal Johor (PLBJ) tidak meletakkan sasaran tinggi untuk semua pelumba mereka pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Melaka.

"Kita tidak meletakkan sandaran tinggi buat semua pelumba. Daripada prestasi yang ditunjukkan dalam beberapa kejohanan yang disertai, saya melihat satu pingat emas mampu diraih melalui acara kriterium. Mungkin pelumba juga boleh mencapai lebih daripada satu pingat emas.

"Bagaimanapun, saya pasti pelumba-pelumba di bawah bimbingan saya dapat memberikan saingan yang kuat kepada pelumba-pelumba lain," kata jurulatih skuad berbasikal Johor, Daud Ibrahim.

Pada temasya Sukma dua tahun lepas di Terengganu, skuad berbasikal Johor pulang hampa selepas tidak memenangi sebarang pingat.

Daud, yang juga bekas pelumba kebangsaan, berkata sebagai persiapan bagi menghadapi Sukma Melaka kali ini, pelumba-pelumba telah menjalani latihan secara berkala sejak Mei tahun lepas.

"Dalam tempoh itu, kita telah membuat penilaian terhadap semua pelumba-pelumba negeri dan PLBJ kini menyenarai pendek 13 pelumba. Daripada jumlah ini, enam akan dipilih menyertai acara lebuh raya," kata Daud, yang memberi tumpuan kepada acara lebuh raya.

Menurut beliau, lima pelumba untuk acara lebuh raya telah diberi pendedahan dengan menyertai beberapa perlumbaan di negara ini termasuk perlumbaan Jelajah Malaysia pada 27 April hingga 2 Mei lepas.

"Saya dapati melalui perlumbaan Jelajah Malaysia baru-baru ini, para pelumba masih belum berani kerana kurang pendedahan dengan perlumbaan besar seperti ini.

"Walaupun tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan di luar negara seperti yang dilakukan oleh beberapa negeri tetapi saya yakin pelumba-pelumba kita mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu memberi saingan," katanya.

Antara pelumba yang akan menggalas cabaran Johor dalam acara perlumbaan lebuh raya pada Sukma Melaka ialah Mohd Fakhruddin Daud, Muhamad Rizal Muhamad, Mohd Shahelmie Abd Rahim, Mohd Nazri Muhamad dan Khairul Naim Azhar.

Artikel Lain