suria

Moratti Harap Mourinho Kekal Pimpin Inter

MILAN: Presiden Inter Milan, Massimo Moratti cuba untuk menghalang pemergian Jose Mourinho ke Real Madrid tetapi berpendapat ianya sudah terlambat.

Berdasarkan spekulasi terbaru dari Sepanyol dan Itali, Real Madrid semakin hampir untuk mencapai persetujuan mengenai tawaran untuk Mourinho dan ejennya, Jorge Mendes.

Mourinho kini akan berbincang dengan Moratti berhubung niatnya untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu dan mengambil langkah awal meninggalkan Inter dengan membatalkan kontraknya bersama kelab Itali itu.

Namun, Moratti masih menaruh harapan tinggi agar bekas pengurus Chelsea itu meneruskan era kegemilangannya di Milan.

"Kita akan tunggu saja apa keputusannya kelak. Saya lebih berminat untuk mengadakan mesyuarat secara langsung dengannya dan kami akan bertemu dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Harapan sentiasa ada tetapi kami harus menghormati keputusan seseorang yang merasakan tanggungjawabnya sudah selesai," jelas Moratti.

Sementara itu, Inter dilaporkan bersedia mengemukakan tawaran terhadap pemain tengah Liverpool, Javier Mascherano.

Pemain berusia 25 tahun itu pernah dikaitkan akan meninggalkan Anfield pada musim panas ini selepas mengakui mahu menyertai kelab gergasi Sepanyol, Barcelona minggu lalu.

Chelsea turut dilaporkan berminat untuk membawa masuk Mascherano dan rakan sepasukannya di Liverpool, Yossi Benayoun dalam usaha untuk mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Pemain tengah The Blues, Juliano Belletti dan Deco akan dibenarkan meninggalkan Stamford Bridge sebaik kontrak mereka tamat dan kedua-duanya akan kembali ke Brazil.

Michael Ballack dan Joe Cole juga bebas untuk menyertai mana-mana kelab jika mereka tidak bersetuju dengan tawaran kontrak baru daripada kelab itu.

Artikel Lain