suria

Mihajlovic Pilihan Isi Tempat Mourinho

MILAN: Sinisa Mihajlovic mengejutkan Catania apabila meletak jawatan sebagai pengurus kelab itu dan dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Milan.

Jose Mourinho yang membantu Inter memenangi tiga kejuaraan pada musim ini, mahu berhijrah ke Real Madrid dan akan berbincang dengan juara Serie A itu tidak lama lagi.

Mihajlovic yang pernah menjadi penolong kepada Roberto Mancini di Inter pada 2008 tidak merujuk kepada gergasi Itali itu dalam surat perletakan jawatannya tetapi peminat-peminat kini mempertikaikan motifnya berbuat demikian.

"Saya berharap agar mendapat pekerjaan lain yang sesuai dengan keputusan dan cita-cita saya secepat mungkin," katanya.

Di bawah pimpinan Mihajlovic, Catania berjaya menewaskan Inter dan menduduki tangga ke-13 musim ini.

Walaupun gagal mengemudi Bologna tahun lalu, dia amat dikenali oleh Presiden Inter, Massimo Moratti dan meninggalkan kelab itu sebagai pembantu pengurus kerana rakan baiknya yang juga pengurus, Roberto Mancini dipecat.

Pengurus Liverpool, Rafael Benitez turut disebut sebagai pengganti Mourinho jika dia menyempurnakan perpindahan ke Real.

Artikel Lain