suria

Kevin Yeap Catat Rekod Baru 1,500M Gaya Bebas

KUALA LUMPUR: Perenang negara, Kevin Yeap, mencatatkan rekod baru Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 1,500m gaya bebas lelaki di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil dekat sini hari ini.

Ia adalah rekod kejohanan pertama yang dicatatkan oleh perenang Malaysia dalam pertandingan itu yang memasuki hari kedua.

Kevin mencatat masa 15 minit 55.64 saat untuk memadamkan rekod lama 16:02:02s yang dilakarnya dua tahun lepas.

Beliau mendahului Saman Salari dari Iran dengan catatan masa 16:29.30s, manakala perenang Hong Kong Keith Sin Chin Ting mendapat gangsa dengan masa 17:05.76s.

"Sebenarnya, saya mengharapkan lebih daripada itu. Bagaimanapun, saya sangat gembira berjaya mencatatkan rekod baru," katanya dan menambah catatan peribadi terbaiknya adalah 15:51.80s yang dicatatnya di Sukan SEA Laos tahun lepas, di mana beliau mengutip pingat perak.

Kevin yang akan berusia 21 tahun Ogos depan, menyatakan yang tumpuan semasanya ialah untuk mengekalkan dua pingat emas yang dimenanginya dalam acara 400m dan 1,500m gaya bebas pada Sukan Malaysia (Sukma).

"Fokus saya hanya untuk dua acara ini. Saya amat berharap untuk mengekalkan pingat emas dalam acara tersebut yang saya menangi pada 2006 (Kedah) dan 2008 (Terengganu). Selain berusaha untuk mengutip pingat emas, saya juga berusaha untuk memecahkan rekod Sukma," katanya.

Beliau mula mewakili Perak di Sukma Negeri Sembilan pada 2004 di mana beliau hanya berjaya memperolehi pingat gangsa dalam dua acara tersebut.

Untuk Sukma Melaka yang bakal berlangsung pada 10 hingga 19 Jun ini, merupakan pembabitan keempat dan terakhir beliau di Sukma.

Sementara itu, Khoo Cai Lin, yang mewakili Selangor, mengutip dua pingat emas dalam acara 200m individu medley wanita dan 200m gaya bebas, manakala perenang Kuala Lumpur Melvin Chua berjaya merangkul pingat emas dalam acara 200m individu medley lelaki.

Esok, 10 lagi acara renang akan diadakan.

Artikel Lain