suria

Malaysia Sasar Lima Emas Acara Pelayaran

LANGKAWI: Skuad pelayaran Malaysia mensasarkan untuk meraih lima pingat emas pada Sukan Asia ke-16 yang akan diadakan di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November depan.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata sasaran itu bagi mengatasi pencapaian negara mengutip satu pingat emas menerusi Rufina Tan dalam acara Optimist pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

"Kita bertekad menambah pingat pada penyertaan temasya sukan berprestij itu dengan persiapan yang rapi diadakan bagi membentuk skuad mantap," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Afendy berkata, bagi mencapai sasaran itu, MYA mengatur program latihan intensif dalam dan luar negara kepada lebih 30 pelayar skuad elit dan pelapis kebangsaan, dengan kompleks latihan perahu layar kebangsaan di Langkawi, serta Auckland, New Zealand dipilih sebagai pusat latihan pertama dan kedua.

Katanya, enam pelayar negara iaitu Khairunnisa Mohd Afendy, Norashikin Mohamad Sayed, Ku Anas Ku Zamil dan Mohamad Hafizzudin Mazlan bagi kelas International 420 serta Razman Mat Ali dan Ahmad Hakimi Ahmad Shukri (International 470) dipilih menjalani latihan selama dua minggu berakhir 25 Mei ini di Auckland sebagai pusat latihan kedua.

Beliau berkata, para pelayar terpaksa menghadapi ujian dengan tiupan angin dan ombak besar sebagai menguji keupayaan mereka menghadapi Sukan Asia 2010.

Mohd Afendy yang turut mengiringi pelayar negara ke Auckland, melahirkan rasa puas hati sepanjang latihan yang dikendalikan jurulatih Andrew Brown dari New Zealand dan jurulatih Malaysia Mohd Shahril Abdul Rahim.

Menurutnya mereka tidak menghadapi masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk di sana.

Keadaan tiupan angin kuat dan cuaca sejuk penting kerana ia akan membantu pelayar Malaysia untuk menghadapi tekanan yang sama seperti Sukan Asia yang akan diadakan Guangzhou, katanya.

Gandingan Khairunnisa/Norashikin menjuarai pertandingan semasa latihan bersama pelayar Olimpik New Zealand bagi kelas International 420 manakala Ku Anas/Mohamad Hafizzudin di tangga ketiga.

Selain itu, pelayar elit, Mohd Romzi Mohamad yang sedang menjalani latihan di Republik Dominic Amerika Selatan selama tiga bulan sehingga Julai ini turut menjadi sandaran negara dalam kelas Laser Radial pada temasya itu.

Artikel Lain