suria

Malaysia Bakal Jadi Tuan Rumah Perlumbaan Superbike Dunia

PUTRAJAYA: Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia menjadi tuan rumah kepada salah satu pusingan perlumbaan Kejohanan Superbike Dunia, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Katanya penganjuran perlumbaan tersebut secara langsung akan menyemarakkan lagi usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab sukan permotoran di rantau ini.

"Kementerian tidak mempunyai masalah untuk memberikan sokongan kepada perlumbaan ini," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan dan mendengar taklimat daripada wakil pihak penganjur, Itramas FGT Sdn Bhd dan FGSport dari Itali di pejabatnya, di sini, semalam.

Ahmad Shabery berkata beliau mencadangkan kepada pihak penganjur supaya perlumbaan berkenaan dimulakan tahun depan sempena sambutan "Tahun Industri Sukan" anjuran kementeriannya.

Sementara itu, penasihat korporat Itramas, Datuk Husin Mohd Anwar berkata pihaknya kini sudah mendapat hak penganjuran daripada FGSport untuk menganjurkan perlumbaan bagi rantau Asia Tenggara.

"Itramas FGT adalah salah satu cabang kepada Itramas Technology Sdn Bhd dan akan bertanggungjawab mengendalikan sukan itu.

"Perlumbaan ini mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM)," katanya.

Pengarah FGSport Pablo Clabetti berkata ketika ini kejohanan dunia itu merangkumi 13 pusingan iaitu 10 di Eropah dan satu masing-masing di Amerika Syarikat, Australia dan Afrika Selatan.

"Sudah tentu kami ingin menambah satu lagi pusingan di Asia dalam kalendar kami dengan mengadakan perlumbaan itu di Litar Antarabangsa Sepang dekat sini," katanya.

Artikel Lain