suria

FAM Tolak Hasrat T-Team Guna Khidmat Khalid Jamlus

PETALING JAYA: Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) menolak permohonan pasukan kelab Terengganu, T-Team, untuk menggunakan khidmat bekas penyerang kebangsaan, Muhamad Khalid Jamlus pada baki saingan Liga Super musim ini.

Anggota jawatankuasa pertandingan tempatan, Wan Nizam Wan Omar berkata permohanan tersebut ditolak kerana pemain terbabit telah pun berdaftar dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada awal musim.

"Jadi terdapat peraturan yang menyatakan pemain yang telah didaftar oleh sesebuah pasukan tidak boleh didaftar oleh pasukan yang lain pada musim yang sama," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Sebelum itu, Wan Nizam mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pertandingan tempatan bagi kes terbabit berikutan pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Che Mat Jusoh, merupakan presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) di mana, pasukan T-Team merupakan anggota gabungannya.

Wan Nizam berkata walaupun Muhamad Khalid tidak pernah bermain untuk ATM di dalam saingan Liga Perdana, lesen pemain itu telah dikeluarkan di bawah ATM.

Penyerang berusia 33 tahun itu yang pernah mewakili Perak, Selangor dan Pahang sebelum ini dilaporkan telah ditamatkan kontrak oleh ATM pada Febuari lepas.

Beliau kemudiannya telah mengikat kontrak dengan pasukan T-Team yang dibimbing jurulatih Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor pada 30 April lepas.

Sementara itu, bagi musim pendaftaran pemain yang berakhir semalam, seramai 25 pemain telah didaftarkan oleh sembilan pasukan bagi saingan Liga Super seperti Kelantan, Perlis, KL Plus dan Pahang.

Manakala saingan Liga Perdana, pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) FC yang kini menduduki tempat kedua tercorot daripada 12 pasukan bersaing telah melakukan perubahan pemain paling ramai apabila mendaftarkan 10 pemain baru.

Artikel Lain