suria

FAM Bincang Perjalanan LM 2011 Selepas Musim 2010 Berakhir

PETALING JAYA: Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) akan berbincang mengenai perjalanan Liga Malaysia (LM) 2011 setelah semua pertandingan untuk musim 2010 berakhir.

Naib Presidennya Datuk Che Mat Jusoh berkata masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai semua perkara kerana liga baru sahaja memasuki pusingan kedua.

"Sekarang Liga Super dan Liga Perdana kecuali Piala FAM baru sahaja memasuki pusingan kedua. Lepas tamat saingan Piala Malaysia kita akan bincang perjalanan untuk LM 2011," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pertandingan tempatan FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan untuk membenarkan kembali penggunaan pemain-pemain import setelah diharamkan pada saingan LM mulai tahun lepas.

Perkara itu turut dibangkitkan oleh presiden Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa pada Ahad lepas. Annuar berkata semua negara di Asia Tenggara mempunyai pemain import dalam liga masing-masing dan meminta FAM mengkaji cadangan itu agar prestasi pemain lebih meningkat dengan kehadiran pemain import.

Malah, Selangor yang beraksi pada saingan Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) tahun ini turut terkena 'tempias' berikutan ketiadaan pemain import apabila sekadar menduduki tempat ketiga daripada empat pasukan dan hanya mencatatkan satu kemenangan daripada enam perlawanan yang diharungi.

Sementara itu mengenai perlawanan akhir Piala Malaysia, Che Mat berkata perlawanan bagi merebut piala berprestij itu akan diadakan di Stadium Shah Alam yang dijadualkan pada 30 Okt ini.

"Keputusan ini diambil kerana Stadium Nasional di Bukit Jalil tidak dapat digunakan ketika itu kerana kerja-kerja pembaikan trek," katanya.

Beliau berkata pemilihan Stadium Shah Alam yang pertama kalinya untuk pertandingan akhir Piala Malaysia adalah berdasarkan kapasiti penontonnya yang tinggi serta lokasinya yang juga terletak di kawasan Lembah Klang.

Stadium Shah Alam yang dibuka pada 1994 menjadi gelanggang tuan rumah untuk pasukan Liga Super, Selangor mempunyai kapasiti 70,000 penonton.

Artikel Lain