suria

KAFA Calon Sultan Ahmad Sebagai Presiden FAM

KOTA BAHARU: Kelantan mencalonkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada pemilihan kepimpinan tertinggi badan induk itu pada 31 Julai ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, berkata Sultan Pahang perlu menerajui FAM bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran baginda dalam badan itu.

Pencalonan itu dicapai pada mesyuarat majlis KAFA kelmarin, katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

FAM telah meminta semua ahli gabungannya mengemukakan pencalonan bagi jawatan presiden, empat naib presiden dan lapan ahli majlis, sebelum akhir bulan ini.

Selain pencalonan, Annuar berkata KAFA juga mencadangkan FAM membenarkan pengambilan semula pemain import bagi Liga Malaysia musim depan.

Menurutnya semua negara ASEAN mempunyai pemain import dalam liga masing-masing dan meminta FAM mengkaji cadangan itu agar prestasi pemain lebih meningkat dengan kehadiran pemain import.

Mengenai pemberian lesen perjudian dalam bola sepak, Annuar berkata KAFA menentang keras idea itu kerana ia boleh mendorong kepada aktiviti mengatur perlawanan dan bertentangan dengan agama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain